Monday, December 7, 2009

RM55.6j bantu mangsa banjir

KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukkan sebanyak RM55.6 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengagihan bantuan ihsan akan dibuat secara adil kepada semua mangsa sama ada mereka berpindah atau tidak akibat banjir.

Beliau berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat bergantung kepada perkembangan semasa keadaan banjir yang sering melanda negara kebelakangan ini.

''Kerajaan akan sentiasa menyediakan bantuan kepada rakyat yang menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk bantuan dan keadaan.

"Jika dinilai bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir ia merangkumi bantuan yang menyeluruh termasuk penempatan perpindahan yang selesa, penyediaan pelbagai jenis makanan, kerosakan harta benda dan wang tunai.

"Jadi saya berani katakan bahawa kerajaan Malaysia merupakan kerajaan terbaik di dunia dalam memberi bantuan kepada rakyatnya yang ditimpa bencana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Bencana Banjir Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Najib turut menyampaikan bantuan sebanyak RM300 kepada 363 mangsa banjir di sekitar daerah Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut beliau berkata, bantuan kepada mangsa banjir diberikan kepada mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan dan yang tidak berpindah.

Bagaimanapun, katanya, setiap pengagihan perlu disahkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi membolehkan mereka menerima wang ihsan berkenaan.

Ditanya mengenai mangsa banjir yang maut sering melibatkan kanak-kanak, Najib menasihatkan agar ibu bapa memainkan peranan dalam mengawal anak-anak mereka.

Ujarnya, banjir bukan satu pesta air dan ibu bapa perlu mengawasi anak-anak masing-masing.

"Kita tidak mampu untuk meramal keadaan banjir sama ada ia bahaya ataupun tidak justeru, itu anak-anak perlu dikawal bagi mengelak sebarang tragedi pada musim banjir ini," jelasnya.